
Semalam, Fahmi dilaporkan mendakwa beliau dihalang di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika cuba menaiki penerbangan ke Singapura sebelum dimaklumkan dirinya disenaraihitamkan.
Beliau mendakwa seorang pegawai imigresen memaklumkan Bukit Aman melarangnya keluar negara.
Hari ini, Razarudin berkata, tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap Fahmi ketika ini.
Tetapi, menurutnya, nama Fahmi dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman polis susulan siasatan kes membabitkannya masih dijalankan polis.
“Namun, harus ditegaskan senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti situasi itu dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemas prosedur sedia ada.
Tegasnya, polis kekal komited melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak setiap rakyat Malaysia.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah mengarahkan timbalan ketua polis negara meneliti larangan keluar negara ke atas Fahmi.
“Kerajaan menjunjung tinggi kebebasan individu, selagi ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
“Oleh itu, pihak polis perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” katanya dalam kenyataan sambil menambah ia akan terus memantau perkembangan perkara itu.