Subsidi petrol: Kerajaan belum buat keputusan

Subsidi petrol: Kerajaan belum buat keputusan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ulas kenyataan Menteri Rafizi Ramli yang berseloroh mengenai 'kejutan petrol'.

Kerajaan belum buat sebarang keputusan mengenai keperluan merasionalisasikan subsidi petrol RON95.
GEORGE TOWN:
Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai keperluan merasionalisasikan subsidi petrol RON95, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini lebih menjurus kepada soal subsidi bersasar diesel, yang perlu diteliti kerajaan tentang pelaksanaannya dan sekiranya ada dalam kalangan rakyat yang merasa terjejas, mereka boleh mengemukakan permohonan untuk bantuan subsidi.

“Saya baca teks Rafizi. Dia kata kita tumpu soal diesel yang perlu kita teliti sama ada pelaksanaan berkesan dan kalau ada dalam kalangan rasa terjejas harus kemukakan.

“Saya tengok konteks itu yang dia tekankan dan yang lain-lain belum ada apa-apa keputusan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Pulau Pinang.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi ketika diwawancara Bloomberg ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Dalian, China pada Khamis yang berseloroh mengenai ‘kejutan petrol’ selepas penyasaran subsidi diesel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.