Hapus kawalan harga untuk tingkat daya saing negara, kata pakar

Hapus kawalan harga untuk tingkat daya saing negara, kata pakar

Carmelo Ferlito berkata Malaysia akan kehilangan kelebihan daya saingnya di Asia Tenggara jika gagal mengurangkan kawalan harga ke atas komoditi tertentu.

KL skyline
Malaysia mengalami penurunan ketara dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD, menunjukkan penurunan dalam prestasi ekonomi, serta kecekapan kerajaan dan perniagaan.
PETALING JAYA:
Pakar ekonomi menggesa kerajaan mengurangkan campur tangan dalam harga komoditi dalam usaha meningkatkan daya saing global Malaysia.

Carmelo Ferlito, ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, berkata kedudukan negara dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD akan terus menjunam jika kerajaan berterusan menetapkan harga lantai dan siling bagi barangan terpilih.

Carmelo Ferlito.

“Putrajaya mempunyai sejarah panjang mengubah harga barang. Jika ia terus campur tangan melalui subsidi atau kawalan dalam apa jua bentuk, ia akan membawa kepada kemunculan struktur ekonomi yang tidak konsisten dengan penawaran dan permintaan,” katanya kepada FMT.

“Pendek kata, kerajaan harus memudahkan peraturan dan kembali memainkan peranan sebagai pengadil dan bukannya pemain aktif dalam ekonomi.”

Beliau memetik subsidi dan siling harga telur, di mana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata tahun lepas bahawa ia akan dikekalkan untuk melindungi pengguna daripada kos yang lebih tinggi.

Sementara itu, kawalan harga ke atas ayam ditarik balik pada 1 Nov selepas harga ladang dan kos pengeluaran stabil.

Laporan IMD minggu lalu mendedahkan bahawa Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke tangga ke-34 daripada 67 negara tahun ini, dengan penurunan dalam hampir semua faktor termasuk prestasi ekonomi, serta kecekapan kerajaan dan perniagaan.

Malaysia juga turun empat anak tangga ke tangga ke-10 daripada 14 negara di rantau Asia-Pasifik dan buat pertama kalinya ketinggalan di belakang Indonesia dan Thailand dalam ranking.

Pensyarah kanan ekonomi Universiti Malaya Goh Lim Thye berkata pelonggaran kawalan harga boleh menyuntik dinamik ke dalam pasaran, berpotensi meningkatkan kedudukan IMD negara.

Goh Lim Thye.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar tidak mengabaikan kesannya terhadap pengguna berpendapatan rendah.

“Sebarang pelarasan dasar perlu dinilai dengan teliti untuk memastikan ia menggalakkan kecekapan ekonomi di samping menjaga kebajikan semua rakyat,” katanya.

 Kurang sekatan ke atas pelaburan asing

Goh juga menggesa supaya sekatan ke atas firma asing yang ingin melabur di negara ini dikurangkan dengan berkata ia akan meningkatkan aliran modal, peluang pekerjaan dan kemajuan teknologi.

“Bersikap terbuka kepada pelaburan langsung asing (FDI) boleh menyumbang secara positif kepada daya saing negara,” katanya.

“Saya mencadangkan agar prosedur kawal selia dipermudahkan, menyediakan garis panduan yang jelas dan telus untuk bakal pelabur serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal.”

Beliau juga mengingatkan agar tidak melaksanakan reformasi kawal selia secara tergesa-gesa, menyokong pendekatan seimbang yang mempertimbangkan keperluan kedua-dua perniagaan dan pengguna.

Menurut laporan IMD, Malaysia naik satu tempat kepada ke-28 dalam pelaburan antarabangsa tetapi jatuh tiga anak kepada ke-17 dalam perdagangan antarabangsa.

Ferlito turut menggesa agar peraturan FDI dilonggarkan, berkata ia adalah pemacu utama untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Jika Malaysia mahu terus mempromosikan dirinya sebagai hab serantau yang ideal untuk syarikat antarabangsa, ia tidak boleh mengatakan ia mengalu-alukan pelabur asing dan kemudian mengenakan cukai kepada mereka lebih daripada rakyat tempatan.

“Ia tidak boleh mengatakan ia mahu kelihatan mesra perniagaan dan kemudian melaksanakan kawalan harga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.