
Tetapi, beliau berkata, rakyat belum merasai manfaatnya.
Ekonomi Malaysia berkembang 5.3% pada suku pertama tahun ini, mengatasi pencapaian Thailand dan Singapura, manakala ringgit meneruskan prestasinya sebagai mata wang paling kukuh di Asia berbanding dolar Amerika untuk tahun kedua berturut-turut.
“Rakyat tidak merasai angka makroekonomi, pertumbuhan KDNK, kadar pengangguran lebih rendah atau ringgit lebih kukuh,” katanya menurut Bloomberg.
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, pengundi muda mahu ahli politik yang benar-benar memahami kebimbangan mereka berhubung kos sara hidup, identiti, peluang pekerjaan dan mobiliti ekonomi.
Jelasnya, beliau memahami sentimen itu kerana dirinya berada dekat dengan masyarakat.
“Saya telah berbual dengan rakyat Malaysia selama tiga tahun, sama ada melalui audio siar saya atau radio.”
Khairy merujuk audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama seorang lagi bekas pemimpin Umno, Shahril Hamdan serta tugasnya sebagai penyampai radio di Hot FM.
Menurut Bloomberg, Presiden Umno, Zahid Hamidi berharap kepulangan Khairy ke pangkuan Umno dapat menarik pengundi muda Melayu yang meninggalkan parti itu susulan skandal 1MDB.
Khairy dipecat pada Januari 2023 susulan tindakan disiplin dikaitkan dengan PRU15.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu antara lebih 6,000 bekas ahli yang diterima masuk ke Umno semula bulan lalu.
Mengulas kepulangannya ke Umno, Khairy berkata, Zahid menerima beliau “seadanya”.
“Tetapi, sudah tentu saya akan mematuhi adab dan disiplin parti.”
Khairy mengkritik Zahid secara terbuka menjelang PRU lalu, khasnya selepas Barisan Nasional menurunkannya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh.