
Beliau berkata, walaupun kesan cabaran geopolitik itu masih belum memberi impak besar-besaran terhadap ekonomi Malaysia, negara ini sebaliknya dijangka berdepan cabaran rantaian bekalan ketara selepas ini.
“Cabaran sebenar bukan harga. Bagi saya, orang terlalu fikir dan menumpukan harga. Lupakan soal harga sebaliknya, apa lebih penting, apakah kita ada bekalan itu?” katanya kepada Bernama.
Mengulas trend harga semasa, Ameer Ali berkata walaupun tekanan penetapan harga global serta perkembangan geopolitik itu penting dan memberi kesan terhadap harga domestik, impak terhadap Malaysia masih kekal terkawal pada masa ini.
“Apa yang anda lihat ada item barangan tertentu yang telah turun harga dan ada sebaliknya iaitu meningkat kira-kira tiga peratus hingga lima peratus.
“Namun, bagi saya kesan cabaran geopolitik ini masih belum menyeluruh atau berleluasa ke atas ekonomi Malaysia,” katanya.
Ameer Ali berkata, gangguan bekalan susulan perkembangan global semasa itu berkemungkinan hanya dirasakan dalam tempoh tiga bulan hingga enam bulan akan datang.
Namun, katanya, dunia pernah berdepan perkara sama seperti kejutan rantaian bekalan dan perniagaan serta negara sudah berpengalaman dalam mengurus gangguan sedemikian.
“Kita telah mengharungi perkara sama berulang kali sebelum ini. Ketika Perang Ukraine misalnya, kita berdepan dengan cabaran (kekurangan) baja. Tidak kurang juga cabaran dihadapi sewaktu tempoh pandemik Covid-19,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran daripada sektor e-dagang ke atas industri runcit, Ameer Ali berkata penggiat e-dagang turut berdepan cabaran hebat akibat peningkatan kos logistik.
“Oleh itu, kita (peruncit) masih ada beberapa kelebihan. Kita tidak boleh melihat situasi ini sama seperti ketika Covid-19 yang mendorong lonjakan e-dagang apabila orang ramai tidak dapat keluar rumah.
“Namun, kali ini orang ramai boleh keluar. Sudah pasti, harga petrol dan kos tenaga mungkin meningkat tetapi bukanlah ke tahap yang memberi kesan besar terhadap perjalanan di Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan kalangan pengguna pasar raya lazimnya membeli barangan secara pukal, manakala pengguna e-dagang cenderung membeli item individu dan menyebabkan kos penghantaran menjadi bahagian yang lebih besar dalam jumlah kos barang itu.
“Sudah tentu, pengguna kadangkala boleh tersilap, menerusi iklan seperti penghantaran percuma, percuma ini, dan kupon percuma, sehingga menyangka mereka mendapat sesuatu secara percuma.
“Namun, ingat, tiada benda yang benar-benar percuma. Jika anda tidak membayarnya, rakan sekerja anda yang membayarnya,” katanya.
Selain itu mengulas sama ada Mydin akan mempertimbangkan penyenaraian awam pada masa depan, Ameer Ali berkata syarikat itu masih mengutamakan nilai perniagaan jangka panjang berorientasi masyarakat, daripada memaksimumkan keuntungan untuk pelabur.
“Bagi melaksanakan tawaran awam awal (IPO), anda perlu menunjukkan keuntungan yang tinggi kerana anda perlu memuaskan hati pelabur. Kedua, anda juga perlu menunjukkan keuntungan yang besar dan pertumbuhan yang sangat tinggi, yang kadangkala boleh melibatkan kos tertentu,” katanya.
Ameer Ali berkata, mengurus perniagaan itu sendiri tidak begitu sukar, namun menegaskan Mydin tidak begitu menguntungkan seperti syarikat lain dalam sektor sama kerana Mydin mengutamakan khidmat kepada komuniti dan memberi kembali kepada rakan niaga.
“Kami tidak menjana wang sebanyak itu. Kenapa? kerana wang yang kami peroleh akan dikembalikan kepada pembekal,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi mengenai pendirian Mydin yang kekal komited berkhidmat kepada masyarakat tempatan sebagai jenama tempatan.