
Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mula memberi perhatian serius terhadap kemungkinan tekanan lebih besar pada suku ketiga, jika konflik geopolitik dan gangguan bekalan global berlarutan.
“Cuma, minggu ini juga kita dah nyatakan dalam taklimat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang mana jangkaan kita insya Allah suku kedua ni bertahan, tapi kebimbangannya pada suku ketiga pula.
“Maksudnya, kita dah berjaya push dia punya kesan itu, tapi sudah pasti kalau konflik ini terus berlaku, kesannya akan lebih terasa,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, antara petunjuk yang masih memberi keyakinan kepada kerajaan ialah keadaan pasaran pekerjaan terus stabil, walaupun ekonomi global berdepan ketidaktentuan.
Tetapi, beliau mengakui tekanan inflasi mula dirasai apabila kadar inflasi meningkat daripada 1.7% pada Mac lalu kepada 1.9% bulan lalu.
Katanya, kos pengangkutan penyumbang terbesar kenaikan inflasi, dengan peningkatan sehingga 4.1% bulan lalu, selain beberapa segmen lain, termasuk komunikasi.
“Pada masa sama, bila kita teliti harga makanan, untuk makanan yang belum masak itu masih okey. Cuma, sudah pasti kebimbangan itu akan terus adam mengambil kira berapa lama tempoh konflik ini berlaku.”
Akmal berkata, cabaran ekonomi semasa lebih getir berbanding ketika pandemik Covid-19 kerana krisis kali ini bermula daripada tekanan bekalan minyak, sebelum merebak kepada gangguan bekalan lain dan memberi impak menyeluruh kepada ekonomi.
Beliau berkata, keadaan itu memerlukan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh struktur ekonomi negara dan meningkatkan daya tahan domestik, bukan lagi sekadar menyalurkan insentif jangka pendek.
“Kalau dulu lebih kepada isu insentif untuk salur sana sini semua insentif. Tapi menguruskan keadaan sekarang adalah melihat kepada memperkukuhkan daya tahan kita.
“Bila kita sebut soal daya tahan, ianya melibatkan struktur. Dan apabila melibatkan struktur, sudah pasti ada perkara yang sebenarnya nampak mudah, tapi susah kerana ia melibatkan perubahan ke arah struktur itu.”