
Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, berkata gabungan itu akan terus memainkan peranan dalam memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
“BN menghormati pendirian disuarakan oleh BN Johor berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi PRN akan datang selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen BN negeri.
“BN berpendirian persefahaman dan asas pembentukan kerajaan perpaduan pasca PRU15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik berpanjangan dan persefahaman ini disepakati sehingga mandat berakhir,” katanya dalam kenyataan.
Sabtu lalu, Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata keputusan bertanding di semua DUN dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat Johor serta suara kepimpinan akar umbi Umno dan BN negeri.
Pada Ahad, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, memberi bayangan gabungan itu juga bersedia bertanding di semua kerusi di Johor jika BN meneruskan pendekatan itu menjelang PRN akan datang.
Katanya, PH turut bersedia mengambil langkah sama di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang yang kini ditadbir bersama BN menerusi kerajaan perpaduan.
Pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan Muda (satu).