
Hakim John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee membuat keputusan itu selepas mendapati dua warga Mongolia itu berjaya membuktikan kes mereka mengenai imbangan kebarangkalian terhadap Hazrul Hizham Ghazali, 34.
“Selepas mempertimbangkan keterangan saksi dan hujahan tidak dipertikaikan serta tidak dicabar, saya mendapati plaintif telah membuktikan defendan melakukan persetubuhan tanpa kerelaan dengan kedua-dua plaintif, sekurang-kurangnya enam kali dengan salah seorang wanita dan dua kali dengan wanita kedua.”
Beliau berkata, mahkamah memberikan plaintif (wanita Mongolia pertama) ganti rugi RM460,000, termasuk RM260,000 sebagai ganti rugi am bagi kesalahan mendatangkan kecederaan (termasuk persetubuhan tanpa kerelaan), gangguan seksual dan pemenjaraan palsu serta RM200,000 untuk ganti rugi teruk dan teladan.
Bagi wanita Mongolia kedua pula, hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM360,000 merangkumi RM160,000 ganti rugi am bagi kesalahan mendatangkan kecederaan (termasuk persetubuhan tanpa persetujuan) dan pemenjaraan palsu serta RM200,000 untuk ganti rugi teruk dan teladan.
Mahkamah turut memberikan RM20,000 bagi setiap plaintif sebagai kos kes berkenaan.
“Sebagaimana arahan tegas dikeluarkan mahkamah, perbicaraan berjalan dengan sewajarnya dan pada akhir perbicaraan, plaintif memfailkan hujahan bertulis dan lisan yang dikemukakan kepada mahkamah,” kata hakim.
Pada 2020, defendan didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita Mongolia itu untuk eksploitasi seksual dan sembilan pertuduhan merogol serta berniat mencabul kehormatan mereka.
Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada semua pertuduhan pada akhir kes pembelaan tahun lalu.
Berdasarkan fakta kes dibacakan di mahkamah, dua wanita Mongolia itu ditahan defendan dalam sekatan jalan di Petaling Jaya semasa PKP pada 10 April 2020.
Dua wanita Mongolia itu diarahkan keluar dari kereta dan dibawa ke khemah polis berhampiran, sebelum mereka dibawa ke sebuah hotel di Petaling Jaya.
Defendan membawa dua wanita itu ke bilik tidur berasingan di hotel dan melakukan persetubuhan tanpa persetujuan mereka antara 10 serta 11 April 2020.