Polis siasat 5 anggota disyaki peras ugut wanita Taiwan

Polis siasat 5 anggota disyaki peras ugut wanita Taiwan

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Jaafar berkata lima anggota itu telah ditukar ke penugasan lain sementara siasatan dijalankan.

Shahrulnizam Jaafar
Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Jaafar berkata lima anggota terbabit ditahan sebelum ini, namun permohonan reman terhadap mereka ditolak mahkamah. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis membuka kertas siasatan tatatertib terhadap lima anggotanya disyaki terbabit memeras ugut seorang warga Taiwan di kawasan SS2, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar, berkata lima anggota terbabit ditahan sebelum ini, namun permohonan reman terhadap mereka ditolak mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan tatatertib juga dibuka sebagai siasatan selari.

“Setakat ini, semua anggota terbabit telah ditukar ke penugasan lain sementara siasatan dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga Taiwan menerusi perkongsian di laman sosial mendakwa diperas ugut semasa ditahan anggota polis dalam sekatan jalan di kawasan SS2, Petaling Jaya, pada 7 Julai lalu.

Shahrulnizam berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika pemeriksaan sekatan jalan secara mengejut di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih dalam proses berhubung dengan mangsa bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.