Pasukan keselamatan siap siaga tangani ancaman Daesh, kata menteri

Pasukan keselamatan siap siaga tangani ancaman Daesh, kata menteri

Saifuddin Nasution Ismail berkata ia dapat dilihat melalui kejayaan polis dalam menahan beberapa individu yang cuba mengembangkan ideologi berkenaan baru-baru ini.

saifuddin
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen Daesh masih ada tetapi polis berjaya mematahkannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pasukan keselamatan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga dalam menangani sebarang ancaman terutamanya melibatkan elemen kumpulan ekstremis Daesh.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia dapat dilihat melalui kejayaan polis dalam menahan beberapa individu yang cuba mengembangkan ideologi berkenaan baru-baru ini.

“Elemen Daesh itu masih ada tetapi polis telah berjaya mematahkan cubaan berkenaan menunjukkan bahawa pihak keselamatan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa.

“Tangkapan ini juga menunjukkan elemen Daesh ini berada dalam batas ruang di mana pasukan keselamatan mampu tanganinya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tahap keselamatan negara berikutan penahanan lapan individu terlibat dalam ideologi Daesh baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan Khairul Anwar Bachok.

Pada Isnin, media melaporkan lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lalu.

Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang dengan kesemua suspek yang berusia 25 hingga 70 tahun itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.