Lelaki ditahan hantar SMS ‘phishing’ di bahu jalan

Lelaki ditahan hantar SMS ‘phishing’ di bahu jalan

Suspek memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk menyebarkan SMS memancing data kepada pengguna talian aktif di kawasan itu, menurut SKMM.

handphone
SKMM mengingatkan orang ramai agar tidak menekan sebarang pautan yang dihantar menerusi SMS untuk mengelak menjadi mangsa pancingan data. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dipercayai menjalankan kegiatan memancing data (phishing) menerusi pautan khidmat pesanan ringkas (SMS) ditahan di bahu jalan di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

Suspek ditahan menerusi operasi bersepadu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama polis susulan maklumat daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi Maxis.

Menurut SKMM, suspek memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk menyebarkan SMS ‘phishing’ kepada pengguna talian aktif di kawasan itu.

“Kegiatan suspek dikenal pasti menerusi analisis spektrum oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” kata SKMM dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Bacaan spektrum yang dipancarkan daripada peralatan komunikasi milik suspek juga menyebabkan gangguan kepada kualiti perkhidmatan rangkaian.”

SKMM berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemukan peralatan komunikasi seperti telefon pintar, ‘GSM blaster’, antena ‘transceiver’ dan komputer riba yang disambungkan kepada kenderaan itu.

Kesemua peralatan berkenaan yang dipercayai digunakan suspek untuk menghantar SMS disita untuk siasatan lanjut, tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233, 238 dan 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Siasatan juga dijalankan bawah Peraturan 16, Peraturan- Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) (Pindaan) 2022 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” kata SKMM.

Sehubungan itu, SKMM sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak menekan sebarang pautan yang dihantar menerusi SMS.

Suruhanjaya itu turut menyeru orang awam agar melaporkan kepada pihaknya atau polis jika terlihat kenderaan mencurigakan yang mempunyai penyambungan peranti komunikasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.