Hukum pemandu kenderaan berat lebihi had waktu memandu, kata Miros

Hukum pemandu kenderaan berat lebihi had waktu memandu, kata Miros

Pengerusi Miros, Wong Shaw Voon berkata, pemandu kenderaan berat perlu mematuhi had waktu memandu lapan jam, yang boleh dilanjut kepada 12 jam dengan hari rehat wajib.

Seorang penolong kanan, pembantu operasi sekolah, guru SK Jeram dan pemandu bas persiaran maut selepas bas itu bertembung sebuah treler di Muadzam Shah Isnin lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menggesa penguatkuasaan lebih ketat dan hukuman lebih berat terhadap pemandu kenderaan berat melebihi had waktu memandu.

Pengerusinya, Wong Shaw Voon berkata, keletihan pemandu ialah penyumbang utama nahas jalan raya dan had undang-undang membenarkan maksimum lapan jam memandu sehari, yang boleh dilanjutkan kepada 12 jam dengan hari rehat wajib keesokannya.

“Pemandu memerlukan rehat sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan berkaitan keletihan dan majikan perlu memastikan pemandu mereka dalam keadaan bekerja yang selamat, seperti dikehendaki Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad),” katanya kepada FMT.

Mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, sesiapa yang sengaja atau cuai membahayakan keselamatan penumpang kenderaan perkhidmatan awam, termasuk bas dan lori, boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tujuh tahun atau kedua-duanya.

Di bawah Seksyen 202 akta sama, tindakan terburu-buru atau cuai tanpa alasan sah boleh didenda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Wong menggesa hukuman lebih berat seperti pembatalan lesen memandu dan penggantungan atau pembatalan lesen operasi syarikat yang gagal mematuhi peraturan.

Isnin lalu, empat maut dan 35 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran membawa sekumpulan guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram di Masjid Tanah, Melaka terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler membawa muatan gelung besi di Jalan Kuantan-Segamat dekat persimpangan Bahau di Muadzam Shah.

Wong berkata, jalan raya mesti direka bentuk dengan had laju sesuai dan penghadang yang betul dipasang berdasarkan jenis trafik dikendalikannya.

“Semakan dan naik taraf berkala diperlukan, khasnya jika jumlah atau jenis trafik berubah mengikut masa,” katanya sambil menekankan kepentingan memasang penghadang betul, sama ada fleksibel atau konkrit, untuk menghalang kenderaan memasuki laluan bertentangan.

Pakar keselamatan jalan raya, Suret Singh mencadangkan semua bas beroperasi pada waktu malam perlu dilengkapi tali pinggang keledar bagi meningkatkan keselamatan penumpang.

“Keterangan saksi menunjukkan bas itu berpusing sebelum melanggar treler, menandakan pemandu mengantuk dan keletihan.

“Bas juga perlu dilengkapi kamera digital bagi mengesan pemandu mengantuk. Sistem ini perlu merangkumi penggera untuk memberi amaran kepada pemandu dan penumpang, jika ada tanda keletihan dikesan.”

Law Teik Hua dari pusat penyelidikan keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia berkata, penggunaan kotak hitam atau peranti pengelogan elektronik dalam kenderaan berat boleh membantu memantau dan menguatkuasakan pematuhan peraturan waktu memandu, menyediakan data berharga bagi penguatkuasaan serta akauntabiliti.

Katanya, amalan penyelenggaraan khusus boleh membantu mencegah nahas, termasuk pemeriksaan berkala terhadap komponen kritikal seperti brek, tayar, sistem stereng dan “suspension” kenderaan.

“Program latihan untuk pemandu juga perlu menekankan kepentingan penyelenggaraan kenderaan dan cara melakukan pemeriksaan pra-perjalanan yang terperinci.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.