
Menurut laporan Business Times baru-baru ini, satu tinjauan oleh Blackbox Research dan Qualtrics mendedahkan bahawa satu daripada tiga rakyat Singapura kini mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi untuk bersara.
Bagai sesetengah individu, seperti Ramasamy Narayan Prasad dan Latifah Moore, yang berpindah ke Malaysia di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H), tertarik dengan suasana dan budaya yang sama dikongsi kedua-dua negara.
Menurut Daniel Yap, yang mengendalikan agensi MM2H, terdapat peningkatan dalam jumlah rakyat Singapura yang membuat pertanyaan untuk tinggal di Malaysia.
Ejen hartanah Iwin Tay pula berkata lebih ramai pesara Singapura juga membeli rumah di Malaysia.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, sehingga 31 Jan, terdapat 56,066 pemegang pas MM2H yang aktif. Singapura menduduki tempat ketujuh dalam senarai itu, dengan 1,282 warga kota tersebut memegang pas aktif di bawah program ini.
‘Malaysia rumah pertamaku’
Bagi Ramasamy, 85, dan isterinya Rama Devi, 76, Malaysia adalah rumah pertama mereka. “Kami suka kawasan hijau dan persekitaran yang tenang,” katanya kepada FMT.
Beliau datang bekerja di Malaysia pada 1994 dan apabila bersara pada 2019, beliau dan isterinya memutuskan untuk terus tinggal di sini.
Bagaimanapun, program MM2H digantung pada November tahun itu, memaksa pasangan tersebut kembali ke Singapura.
Apabila program itu dikembalikan semula pada 2021 dengan syarat-syarat baharu seperti pendapatan bulanan sebanyak RM40,000 (daripada RM10,000) menjadikannya terlalu mahal bagi mereka.
“Namun, kami mendapati bahawa kami layak di bawah skim MM2H Sarawak, yang kami mohon dan mendapat kelulusan tahun lepas. Kami kini berada di bawah program ini selama setahun,” katanya.
Program MM2H Sarawak mempunyai syarat yang lebih longgar berbanding dengan Semenanjung Malaysia. Sebagai contoh, pasangan hanya perlu menunjukkan pendapatan bulanan sebanyak RM10,000 dan individu layak dengan pendapatan RM7,000 sebulan.
Selain daripada persamaan budaya, Latifah, 55, dan suaminya juga tertarik dengan harga hartanah yang lebih rendah di Malaysia.
“Di Singapura, rumah yang baik akan berharga sekurang-kurangnya SGD3 juta (RM10.3 juta). Itu bukan sesuatu yang mampu kami miliki,” katanya kepada FMT.
Latifah berkata harga kondominiumnya di Singapura adalah lebih mahal daripada harga rumah banglo yang beliau kini tinggal di Malaysia.
Pertanyaan meningkat, hartanah melonjak
Yap berkata agensinya, Exodus MM2H, mencatatkan peningkatan dalam jumlah pertanyaan daripada rakyat Singapura mengenai program itu.
Katanya, kos sara hidup yang lebih rendah dan harga hartanah yang menarik di Malaysia serta kadar pertukaran mata wang antara yang menjadi faktor tarikan.
Tay berkata bilangan pesara Singapura yang membeli rumah di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Melaka semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dengan kos sara hidup dan harga hartanah yang jauh lebih rendah, mereka akan dapat menikmati persaraan yang selesa di Malaysia,” katanya kepada FMT.
Kata Tay rakyat Singapura dalam lingkungan umur 60-an lebih suka hartanah yang mempunyai tanah manakala kebanyakan kondominium di Malaysia pula mempunyai kemudahan seperti kondominium mewah di pulau itu.
Tambahnya, peningkatan minat pesara Singapura untuk berpindah ke Malaysia melonjak pasaran hartanah di Malaysia.