
Hakim Azimah Omar, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, menyatakan rayuan itu tidak mempunyai merit dan tidak memerlukan campur tangan peringkat rayuan.
Panel hakim turut memerintahkan Sime Darby Property membayar kos RM180,000 kepada pihak responden.
Turut bersidang, Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi, di mana keduanya merupakan hakim Mahkamah Rayuan ketika kes tersebut didengar pada Oktober 2024.
Mereka menjawat jawatan semasa masing-masing pada 28 Julai tahun lalu, manakala Azimah menyertai mereka di Mahkamah Persekutuan pada 3 Dis.
Sime Darby Property Bhd mengambil alih peranan daripada Sime Darby Property (Bukit Jelutong) Sdn Bhd sebagai perayu semasa proses rayuan berkenaan berlangsung.
Peguam Nitin Nadkarni, Amy Hiew, Pan Yan Teng, dan Stephanie Lim mewakili Sime Darby, manakala Colin Andrew Pereira dan Edwina Ti mewakili pihak pembeli.
Pada 19 April 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan plaintif telah berjaya membuktikan kes mereka terhadap pemaju berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Hakim Wong Kian Kheong, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, turut menganugerahkan faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar 5% setahun, dikira sehingga pembayaran penuh dilakukan serta kos RM560,000.
Wong berkata, saman itu melibatkan hak plaintif menuntut ganti rugi atas pelanggaran kewajipan oleh pemaju berkaitan kualiti pertukangan dan bahan binaan yang baik di bawah perjanjian jual beli ditandatangani bagi hartanah di Primo Bukit Jelutong, masing-masing berharga antara RM4.7 juta hingga RM5.5 juta.
Hakim turut mengambil maklum pemaju gagal memulakan prosiding pihak ketiga terhadap kontraktor utama bagi menuntut sumbangan dan tanggung rugi terhadap liabilitinya.
Pemilik berkenaan bertindak menyaman pemaju pada 2017 bagi kos membaik pulih unit mereka.
Dalam pembelaannya, Sime Darby Property menafikan wujudnya sebarang kecacatan dan mendakwa sebarang kekurangan sudah diperbaiki. Namun, Wong mendapati tanda tangan pada beberapa borang pembaikan kecacatan yang kononnya dikemukakan pembeli telah dipalsukan.
Yang Amat Arif turut menolak hujah pemaju bahawa kecacatan itu berpunca daripada pengubahsuaian dilakukan pembeli serta akibat daripada haus dan lusuh.
Hakim juga menolak pembelaan pemaju dua daripada enam pembeli yang hanya membeli kediaman mereka selepas projek disiapkan berbuat demikian atas keadaan ‘sedia ada’.