Guru tadika tampar murid dipenjara 2 bulan

Guru tadika tampar murid dipenjara 2 bulan

M Malina mengaku bersalah atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

Teacher Abusing
Guru tadika M Malini didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan mendatangkan kecederaan pada seorang budak lelaki di sebuah tadika di Pandamaran pada 13 Mei lalu.
KLANG:
Seorang guru tadika dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menampar seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun hingga cedera pada bulan lalu.

M Malini membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Wanita itu dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Guru berusia 25 tahun itu didakwa mencederakan kanak-kanak lelaki tersebut di sebuah tadika di Pandamaran pada kira-kira jam 9.36 pagi, 13 Mei lalu.

Semasa rayuannya, Malini, yang tidak diwakili oleh peguam pada masa itu, memohon dikenakan denda minima kerana berasal dari keluarga berpendapatan rendah dan hanya menerima gaji RM1,700 bekerja di tadika berkenaan.

Malini juga memohon maaf dan mendakwa bahawa dia tidak sengaja menampar kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Yong Chin Hong berhujah bahawa sebagai seorang guru, tertuduh sepatutnya melayan pelajarnya dengan kasih sayang.

“Kes ini melibatkan mangsa yang baru berusia empat tahun. Insiden tersebut menyebabkan bengkak dan trauma kepada mangsa. Oleh itu, hukuman berat harus dijatuhkan kepada tertuduh sebagai pengajaran,” katanya.

Keluarga tertuduh kemudian melantik seorang peguam, A Biranta, pada saat-saat akhir untuk memohon hukuman ditangguhkan.

Selepas mendengar hujah Biranta, mahkamah membenarkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.