Kurang bakat bukan politik untuk jadi pengerusi lembaga TalentCorp? soal aktivis

Kurang bakat bukan politik untuk jadi pengerusi lembaga TalentCorp? soal aktivis

Thomas Fann berkata tanggungjawab utama Ahli Parlimen dan Adun adalah menjadi penggubal undang-undang, dan kepada rakyat di kawasan mereka.

Bekas pengerusi Bersih, Thomas Fann, berkata perlu ada suatu proses tapisan yang jelas seperti jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk jamin individu dilantik berkelayakan.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak patut melantik wakil rakyat untuk menerajui badan berkanun kerana dikhuatiri akan ‘hilang fokus’ pada tanggungjawab utama, menurut seorang aktivis demokrasi.

Thomas Fann, bekas pengerusi Bersih, berkata tanggungjawab utama Ahli Parlimen dan Adun adalah menjadi penggubal undang-undang, dan kepada rakyat di kawasan mereka.

Beliau mengulas pelantikan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, sebagai pengerusi lembaga pengarah Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), berkuatkuasa semalam.

“Adakah Malaysia begitu kekurangan bakat bukan politik sehingga kerajaan perlu melantik ahli politik untuk mengetuai agensi berkanun kerajaan TalentCorp?” kata pengerusi NGO Engage itu.

“Atau ini hanya kesinambungan naungan politik oleh parti pemerintah menerusi pemberian ganjaran kepada ahli parti yang setia?” soalnya.

TalentCorp merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia. Penubuhannya bagi tujuan memacu strategi bakat Malaysia ke arah menjadi hab bakat yang dinamik.

Sementara itu, Fann berkata perlu ada suatu proses tapisan yang jelas daripada badan bebas seperti jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk menjamin individu yang dilantik itu adalah berkelayakan.

Ini penting kerana badan berkanun merupakan entiti yang bertanggungjawab ke atas dasar awam dan juga dibiayai pembayar cukai.

Beliau menambah Ahli Parlimen dan Adun memperoleh imbuhan yang mencukupi sebagai wakil rakyat.

Wong, yang telah menjadi Ahli Parlimen Kluang selama dua penggal, juga merupakan timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.