Tiada ‘cover up’ dalam siasatan seleweng dana zakat, kata menteri agama

Tiada ‘cover up’ dalam siasatan seleweng dana zakat, kata menteri agama

Mohd Na'im Mokhtar berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, terutama libat dana untuk kebajikan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar beri jaminan setiap aduan mengenai penyelewengan atau salah guna kuasa akan disiasat secara serius. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiada sebarang usaha untuk melindungi mana-mana individu terlibat dalam dakwaan penyelewengan dana zakat baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutama melibatkan dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam, dan tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada.

“Dana yang diamanahkan untuk kebajikan umat Islam mesti diuruskan dengan penuh integriti, amanah dan ketelusan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

“Saya mengambil maklum laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan bantuan dana zakat di bawah sebuah agensi agama.

“Saya dimaklumkan bahawa siasatan dalaman telah dimulakan dan laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan menyeluruh.”

Beliau turut menyeru orang ramai supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang bentuk penyelewengan atau salah guna kuasa, dengan jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara serius.

Dalam pada itu, Mohd Na’im mengingatkan semua agensi di bawah portfolio Hal Ehwal Agama supaya tidak mengkhianati amanah yang diberikan.

Katanya, kegagalan menjaga integriti bukan sahaja mencemar nama institusi, malah menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi agama.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Semalam dilaporkan SPRM menahan seorang bekas pekerja sebuah badan berkanun yang disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan peruntukan wang zakat berjumlah kira-kira RM120,000 melibatkan 28 pemohon tidak layak.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Mahkamah Majistret kemudian membenarkan perintah reman selama empat hari hingga Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.