
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching, berkata beliau akan dibantu Setiausaha DAP Johor Andrew Chen Kah Eng, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali serta Ahli Jawatankuasa DAP Liow Cai Tung.
“Saya percaya bahawa di bawah pimpinan Wong Shu Qi, mereka ini akan merangka strategi dan bagaimana kami akan bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya akan datang,” katanya menurut Bernama.
Beliau memaklumkan pelantikan itu pada Konvensyen Tahunan DAP Johor 2025 di Siang Hai Recreation Centre, Segamat.
Wong kini berkhidmat sebagai penolong setiausaha publisiti kebangsaan DAP dan juga timbalan kepada Teo dalam DAP Johor.
PRU16 mesti diadakan selewat-lewatnya 17 Feb 2028, manakala PRN Johor seterusnya mesti diadakan selewat-lewatnya 20 Jun 2027.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sekali lagi menyatakan pendirian parti yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak peringkat persekutuan dan negeri, sebagai langkah memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.
Beliau berkata, meskipun keputusan membubarkan Parlimen merupakan kuasa mutlak perdana menteri, DAP sebagai antara parti dominan dalam kerajaan akan memberikan pandangan untuk menyelaras pembubaran, sekiranya pilihan raya serentak mahu dilaksanakan.
Loke berkata, beberapa negeri bakal melalui tempoh tamat penggal termasuk Melaka pada Dis 2026, Sarawak pada Feb 2027 dan Johor pada April 2027, sekali gus mewujudkan ruang teknikal penyelarasan pembubaran dengan Parlimen jika ia ditetapkan lebih awal.
Katanya, penyelarasan tersebut memberi kesan positif dari segi praktikaliti dan kos, khususnya melibatkan logistik seperti di Sarawak yang memerlukan belanja lebih besar bagi penganjuran pilihan raya berasingan.