
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata wanita berusia 27 tahun dan suaminya berusia 66 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kira-kira 9.45 pagi semalam.
Katanya, laporan itu memaklumkan mangsa dibawa ke wad kecemasan zon merah untuk menjalani bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan terhadap mangsa yang dibawa dari Taman Malkop Silibin ke hospital mendapati terdapat kesan lebam di seluruh anggota badannya dan disyaki pernah dipukul menggunakan objek tumpul.
“Bedah siasat yang dilakukan mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan akibat objek tumpul. Selain itu, terdapat juga luka koyak dan lebam pada vagina dan dubur mangsa.
“Bertindak atas maklumat yang diperoleh 9.45 pagi semalam (Isnin), polis menuju ke lokasi kejadian bertempat di sebuah rumah di jalan Kledang Raya, Taman Malkop Silibih, di sini bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Menurut beliau, permohonan reman dibuat terhadap kedua-kedua mereka di Mahkamah Ipoh pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.