Pemain badminton mangsa penipuan, polis kenal pasti 6 akaun bank sindiket

Pemain badminton mangsa penipuan, polis kenal pasti 6 akaun bank sindiket

Polis berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan kerjasama institusi perbankan.

Lai Pei Jing
Pemain badminton beregu campuran negara, Lai Pei Jing pada 3 Jun lalu mendedahkan beliau kehilangan hampir semua wang simpanannya akibat menjadi mangsa penipuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Enam akaun bank dipercayai digunakan sindiket penipuan pelaburan berasaskan jual beli barangan dalam talian menyebabkan mangsa, termasuk pemain badminton negara, Lai Pei Jing kerugian ratusan ribu ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan kerjasama institusi perbankan.

“Setakat ini, siasatan mengenal pasti enam akaun bank yang digunakan sindiket penipuan itu.

“Kerjasama dengan institusi perbankan terbabit sedang dilakukan bagi mendapatkan butiran akaun dan transaksi kewangan berkaitan,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di pejabat JSJK.

Pada 3 Jun lalu, Pei Jing, pemain beregu campuran negara dalam catatan Facebooknya mendedahkan beliau kehilangan hampir semua wang simpanannya akibat menjadi mangsa penipuan.

Pemain berusia 31 tahun itu menyuarakan kekecewaan dan meminta keluarganya tidak diganggu selepas kejadian itu.

Polis dilapor mengesahkan menerima laporan mangsa dan sedang melakukan siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.