2 akaun Bersatu masih tak boleh diakses, peguam beritahu mahkamah

2 akaun Bersatu masih tak boleh diakses, peguam beritahu mahkamah

Peguam kanan persekutuan hujah, perintah sitaan belum tamat tempoh susulan tuduhan terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin.

bersatu logo
Pada 2023, Mahkamah Tinggi benar Bersatu cabar tindakan SPRM sita akaun bank parti selepas dapati permohonan tersebut tidak remeh mahupun menyusahkan.
KUALA LUMPUR:
Bersatu mendakwa dua akaun bank miliknya yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tidak boleh diakses, walaupun tempoh siasatan 12 bulan yang ditetapkan di bawah undang-undang pengubahan wang haram tamat pada Januari tahun lepas.

Dalam prosiding semakan kehakiman hari ini terhadap peguam negara dan SPRM berhubung perintah sitaan dan pembekuan didakwa salah di sisi undang-undang, peguam Bersatu Chetan Jethwani memberitahu Mahkamah Tinggi, parti itu wajar dibenarkan mengakses akaunnya di AmBank dan CIMB Islamic Bank.

Beliau berhujah, hal ini kerana tuduhan pengubahan wang haram tersebut dirangka terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, bukannya terhadap parti itu sendiri.

“Semua tuduhan adalah terhadap Muhyiddin, bukan Bersatu. Peguam negara beri izin untuk mendakwa Muhyiddin,” katanya.

Agensi pencegahan rasuah itu membekukan dua akaun bank Bersatu pada Januari 2023, sebelum menyitanya pada April 2023, sebulan selepas Muhyiddin didakwa.

Bekas perdana menteri itu didakwa atas empat tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan pengubahan wang haram, masing-masing membabitkan jumlah RM232.5 juta dan RM195 juta.

Chetan menghujahkan bahawa perintah sitaan yang salah itu tamat tempoh pada Januari tahun lepas.

Beliau berkata, Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) memperuntukkan tempoh luput 12 bulan bagi perintah sitaan atau pembekuan, jika individu yang dikenakan perintah itu tidak didakwa atas kesalahan di bawah akta tersebut.

“SPRM sepatutnya melepaskan akaun bank tersebut kepada Bersatu, sebaliknya terus menafikan secara salah hak parti itu untuk mengakses akaun banknya,” katanya.

Sebagai respons, Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan berkata, Bersatu tidak boleh didakwa secara bersendirian dan Muhyiddin telah didakwa atas kapasitinya sebagai presiden parti.

“Sitaan tersebut belum tamat tempoh kerana tuduhan telah mengatasi perintah tersebut. Selagi penghakiman belum diumumkan, perkara ini tidak boleh dilupuskan di sini,” katanya.

Beliau menambah, Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Mahkamah Tinggi bukanlah forum yang sesuai untuk mendengar perkara itu dan Muhyiddin sepatutnya membawa isu tersebut ke mahkamah jenayah.

Kes akan terus didengar di hadapan Hakim Aliza Sulaiman pada tarikh lain yang akan ditetapkan kelak.

Pada 30 Okt 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan Bersatu mencabar tindakan SPRM menyita akaun bank parti itu selepas mendapati permohonan tersebut tidak remeh mahupun menyusahkan.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Bersatu untuk mendapatkan akses interim kepada akaun-akaun yang dibekukan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.