‘Ayuni Seri’ ugut sebar gambar bogel, warga emas rugi lebih RM40,000

‘Ayuni Seri’ ugut sebar gambar bogel, warga emas rugi lebih RM40,000

Lelaki berusia 61 tahun buat laporan selepas kehabisan wang untuk bayar ugutan kepada suspek disyaki wanita Indonesia.

scammers
Polis berkata wanita warga asing perdaya mangsa supaya tidak berpakaian ketika melayani panggilan video.
JEMPOL:
Lelaki warga emas kerugian RM44,500 apabila diperas seorang wanita warga asing yang mengugut akan menyebarkan video bogelnya.

Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook, berkata mangsa berusia 61 tahun terpaksa membayar sejumlah wang kepada suspek dikenalinya di Facebook sebagai ‘Ayuni Seri’ bagi mengelakkan videonya tersebar.

“Suspek dipercayai warga Indonesia membuat panggilan video dalam keadaan tidak berpakaian pada 3 Jun, 4.30 petang, mangsa diminta membuka pakaian dan melayan (panggilan) video itu lebih kurang seminit.

“Susulan itu, pengadu menerima (panggilan) video lucah terbabit dan suspek mengugut menyebar gambar pengadu di media sosial dengan ugutan sejumlah wang,” katanya dalam kenyataan.

Hoo berkata, pengadu yang juga pesara kerajaan membuat pengiriman wang enam kali ke empat akaun berlainan berjumlah RM44,500, pada 5 hingga 7 Jun.

Beliau berkata, mangsa terus diminta memasukkan wang RM58,500 semalam untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun disebabkan kehabisan wang, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.