
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata menerusi operasi pada 6, 9 dan 10 Mei lalu, enam warga asing, termasuk tiga wanita ditahan selepas bagasi mencurigakan dikesan melalui mesin pengimbas.
Menurutnya, semua suspek dipercayai daripada sindiket berasingan membawa 254 bungkus bunga ganja seberat 172.8kg bernilai RM13.85 juta dalam sembilan bagasi.
“Keenam-enam suspek terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita asing berusia 17 hingga 31 tahun itu ditahan di sekitar Terminal KLIA dan dipercayai memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Mereka dipercayai menerima upah sekitar €3,000 hingga €5,000 untuk membawa bahan terlarang itu. Saringan air kencing turut mendapati seorang suspek positif dadah jenis THC,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor, di sini.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai berperanan sebagai transporter dadah turut ditahan di depan sebuah premis di Ampang Jaya pada 11 Mei lalu.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemui 79 bungkusan plastik disyaki mengandungi syabu seberat 79kg bernilai RM3.95 juta.
“Orang awam diingatkan tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan pihak lain tanpa mengetahui isi kandungannya.
“Jangan mudah terpedaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan itu boleh mengundang implikasi undang-undang sangat serius.”
Semua suspek direman 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.