JTK siasat universiti swasta lewat bayar gaji

JTK siasat universiti swasta lewat bayar gaji

Jabatan Tenaga Kerja berkata siasatan itu susulan aduan diterima melalui media massa dan juga e-mel membabitkan 93 pekerja.

jtk
Jabatan Tenaga Kerja berkata pihak universiti mengakui mereka kini berdepan dengan krisis kewangan yang menyebabkan kelewatan bayaran gaji pada April dan Mei melibatkan 93 pekerja.
PUTRAJAYA:
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) memulakan siasatan berhubung kelewatan pembayaran gaji kepada kakitangan sebuah universiti swasta di ibu negara.

JTK dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Cyberjaya hasil aduan diterima melalui media massa dan juga e-mel mendapati aduan itu adalah berasas.

“Pihak pengurusan universiti mengakui mereka kini berdepan dengan krisis kewangan yang menyebabkan kelewatan bayaran gaji pada bulan April dan Mei melibatkan 93 pekerja dengan gaji RM4,800 ke atas.

“Daripada jumlah berkenaan, 86 ialah tenaga kerja tempatan dan tujuh merupakan tenaga kerja asing,” menurut kenyataan itu.

JTK memaklumkan beberapa pekerja juga telah berhenti kerja tanpa meninggalkan maklumat lengkap menyukarkan pihak universiti menguruskan isu ini dengan cepat memandangkan pengurus pentadbiran dan kewangan baru dilantik.

Sehubungan dengan itu, pegawai penyiasat mengeluarkan saman hadir kepada pengurusan universiti untuk hadir ke PTK Cyberjaya bagi memberikan keterangan lebih lanjut dan mengemukakan dokumen-dokumen lengkap.

Bagi pekerja yang mengadu dan telah ditemui, mereka diminta hadir ke PTK sama untuk memfailkan kes buruh sepertimana prosedur kehendak Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pegawai buruh mengeluarkan perintah terhadap majikan.

JTK memaklumkan PTK Cyberjaya akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 19 Akta Kerja 1955 iaitu kesalahan kelewatan bayaran gaji.

“Pekerja juga dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh di bawah Seksyen 69 Akta Kerja 1955 antaranya membabitkan tuntutan terhadap majikan berkaitan baki gaji, gaji ganti notis atau bayaran gaji kerja lebih masa,” kata kenyataan itu.

JTK melalui PTK Cyberjaya akan mengendalikan kes ini selaras dengan peruntukan perundangan perburuhan terpakai di bawah bidang kuasa JTKSM tanpa sebarang kompromi serta akan memastikan hak-hak pekerja dilindungi dan majikan mematuhi undang-undang berkaitan pembayaran gaji.

Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan hampir semua kakitangan sebuah universiti swasta terkemuka mendakwa tidak dibayar gaji sejak tiga bulan lepas dan meminta campur tangan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.