
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata sehubungan itu pihaknya melantik pakar perunding untuk menyediakan laporan bermula bulan ini hingga September depan.
Menurutnya, pakar perunding itu akan melakukan sesi libat urus dengan pebagai pihak bagi mendapat pandangan.
“Mereka akan mengemukakan satu laporan komprehensif yang akan menjadi asas kepada kementerian bagi mendapatkan keputusan dasar.
“Ini sama ada keperluan mewujudkan undang-undang khusus berkaitan lemon law atau melaksanakan pindaan akta sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024.
‘Lemon law’ iaitu remedi undang-undang untuk pengguna membeli kenderaan rosak, sama ada baharu atau lama, yang gagal memenuhi kriteria kualiti serta prestasi dalam tempoh khusus.
Amerika Syarikat, Singapura, Korea Selatan, China dan Filipina antara negara mengguna pakai undang-undang seperti itu.
Pada 2004, Singapura merangkumkan ‘lemon law’ dalam Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil).
Armizan berkata ketika ini Malaysia mempunyai beberapa perundangan bercirikan ‘lemon law’ antaranya Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967.
Cadangan supaya Malaysia mewujudkan undang-undang itu susulan dua laporan kenderaan baru dibeli rosak tular di media sosial pada Januari lalu.
Aduan pertama membabitkan seorang kerani S Nagakanni selepas Perodua Bezza barunya rosak lapan jam selepas dibeli dan beliau terpaksa melunaskan pinjaman bulanan RM537, walaupun kereta itu tersadai di pusat servis.
Perodua bersetuju membeli semula kereta Bezza itu dan menawarkan kepada Nagakanni untuk membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman sama atau menolak tawaran berkenaan dan membeli yang lain.
Sementara itu, Noriya Mamat dari Terengganu pula berdepan situasi apabila Honda HR-V yang baru dibelinya juga tersadai di pusat servis berbulan-bulan selepas menghantarnya ke situ sebulan selepas pembelian untuk diservis apabila mencapai jarak perjalanan 1,000km.