
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Armizan Mohd Ali, dalam kenyataan di Facebook menyisipkan sedutan video Azis, didakwa berkata pelantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam LHDN diletakkan sepenuhnya bawah kuasa menteri kewangan serta “tidak perlu runding dengan ketua menteri atau premier”, dan menteri boleh memecat wakil negeri pada bila-bila masa tanpa sebab.
Armizan menempelak dakwaan Azis itu sebagai ‘auta Warisan’, kerana Kementerian Kewangan telah membentangkan rang undang-undang memperuntukkan menteri kewangan perlu berunding dengan ketua menteri Sabah dan premier Sarawak berhubung pelantikan wakil, pada Oktober 2023.
Pindaan pada Akta LHDN itu menyusuli perbincangan dengan kerajaan negeri pimpinan GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Armizan.
“Kalau dengar petikan video tadi, cara beliau (Azis) buat olahan akan mengelirukan mereka yang baru pertama kali mendengar dan tidak mempunyai maklumat menyeluruh berhubung pindaan tersebut,” katanya.
Armizan turut mengingatkan bahawa keperluan melantik wakil dari Sabah dan Sarawak sebagai anggota LHDN adalah hasil konsultasi bersama kerajaan GRS dan kerajaan GPS.
“Supaya tidak ada orang ‘claim credit’, saya tekankan sekali lagi, pelantikan wakil Sabah dan Sarawak sebagai anggota LHDN adalah isu baharu dalam agenda Majlis Khas MA63 yang melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan diterajui GRS di Sabah dan kerajaan GPS di Sarawak.
“Agenda ini tidak ada kaitan dengan Warisan dan tidak wujud dalam agenda jawatankuasa khas Kabinet MA63, yang dibentuk dalam pentadbiran kerajaan persekutuan sebelum ini yang dianggotai kerajaan Warisan,” katanya.
Dewan Rakyat meluluskan RUU bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota LHDN, pada 11 Okt 2023, bertujuan memastikan isu percukaian yang berkaitan kedua-dua negeri berkenaan dapat ditangani dan disampaikan dengan sewajarnya.
Sementara itu, Armizan menggesa Azis menjelaskan mengapa presidennya, Shafie Apdal ketika menjadi menteri persekutuan tidak menggunakan Artikel 2 Perlembagaan untuk menghalang penggubalan Akta Laut Wilayah 2012, “yang telah mengubah sempadan maritim Sabah kepada hanya tiga batu nautika”.
“Kalaupun isu LHDN ini satu ‘diversion strategy’, saya perlu ingatkan yang kita masih belum mendengar respon pertanyaan saya berhubung persoalan berikut,” katanya.