KPDN siasat kenaikan tambang bot laju Menumbok-Labuan

KPDN siasat kenaikan tambang bot laju Menumbok-Labuan

Siasatan susulan aduan daripada bekas Adun Kuala Penyu Limus Jury mengenai notis kenaikan tambang dikeluarkan Persatuan Pengusaha Bot-bot Laju Menumbok.

bot laju
KPDN memandang serius tindakan menaikkan harga tambang bot laju bagi perjalanan antara Menumbok dan Labuan. (Gambar Freepik)
LABUAN:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiasat kenaikan tambang bot laju sebanyak RM3 sehala bagi perjalanan antara Menumbok dan Labuan yang berkuat kuasa sejak 1 Nov lalu.

Menteri Armizan Mohd Ali berkata, siasatan dijalankan susulan aduan diterima daripada bekas Adun Kuala Penyu Limus Jury berhubung notis kenaikan tambang dikeluarkan Persatuan Pengusaha Bot-bot Laju Menumbok kepada pelanggan.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan bahagian dan agensi bawah kementerian itu untuk mengambil tindakan segera termasuk melibatkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Sektor Barang Kawalan dan Subsidi (SBKS).

“MyCC akan memulakan penyiasatan dari aspek amalan antipersaingan.

“Di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga, tambang atau surcaj melalui pakatan sama ada melalui persatuan atau tidak adalah merupakan perlakuan kartel yang serius,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perlakuan itu boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10% daripada kutipan hasil syarikat.

“KPDN melalui MyCC mempunyai rekod mengenakan penalti kewangan sebanyak RM687.9 juta terhadap 270 syarikat yang terlibat dalam kartel dan monopoli bermasalah termasuk lima syarikat feri Roro di Langkawi yang telah dikenakan penalti berjumlah RM2.2 juta,” katanya.

Armizan menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan sabotaj ekonomi melalui kartel yang menjejaskan kepentingan pengguna serta pemain industri yang bergantung kepada perkhidmatan bot laju.

“KPDN kekal komited memastikan pasaran kekal kompetitif, sihat dan telus demi kesejahteraan pengguna serta kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, SBKS KPDN juga sedang merujuk kepada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan bagi menentukan status perlesenan dan pendaftaran pengusaha terlibat.

“Pengusaha bot pengangkutan awam berdaftar layak dipertimbangkan subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang dikawal selia oleh KPDN.

“Oleh itu, adalah tidak wajar bagi pengusaha menaikkan harga tambang dengan alasan kenaikan kos bahan api kerana kerajaan telah menyediakan subsidi,” katanya.

Armizan berkata, KPDN memandang serius tindakan menaikkan harga tambang itu kerana ia memberikan kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat khususnya pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan tersebut setiap hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.