4 lagi anggota kastam dituduh terima rasuah lepas lori kargo

4 lagi anggota kastam dituduh terima rasuah lepas lori kargo

Mereka didakwa atas 49 tuduhan secara keseluruhan bagi kesalahan yang dilakukan antara 2017 hingga 2023.

Empat pegawai Kastam
Empat lagi anggota kastam didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerima rasuah daripada Kalos Enterprise antara 2017 hingga 2023. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Empat lagi pembantu penguasa kastam didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 49 tuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM39,800.

Tertuduh, Alias Mat Yusop, 48; Mohd Rizal Othman, 43; Mohd Shahril Mohd Sukaimi, 39; dan Mohd Hanafie Che Mat, 39, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Anita Harun.

Mohd Rizal didakwa atas sembilan tuduhan menerima suapan secara berperingkat, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,350 antara Februari 2017 hingga April 2017 manakala Mohd Hanafi didakwa dengan 10 tuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM12,600 antara Jun 2020 hingga Januari 2023.

Mohd Shahril pula didakwa dengan 26 tuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM8,450 antara April 2018 hingga April 2023 dan Alias didakwa dengan empat tuduhan berjumlah keseluruhan RM3,400 antara Jun 2019 hingga Julai 2022.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di cawangan bank di KLIA, Kajang, Bandar Baru Salak Tinggi dan Bandar Puchong Jaya.

Mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik Kalos Enterprise melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir; Nurul Atiqah Mohamad Alias; dan Maziah Mohaide, sementara Mohd Rizal diwakili peguam Ridha Abdah Subri manakala Muhammad Aizat Fakri mewakili tiga lagi tertuduh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 bagi Mohd Rizal dan Mohd Hanafie, manakala Mohd Shahril dan Alias masing-masing RM10,000 serta RM8,000 dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan, selain tidak dibenarkan berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes.

Semalam, empat anggota Kastam yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima suapan daripada syarikat sama dengan nilai keseluruhan berjumlah RM39,750 sebagai dorongan tidak memeriksa lori yang membawa barangan dari kargo KLIA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.