MHO desak kedutaan campur tangan kes pemuda Malaysia didakwa di Jepun

MHO desak kedutaan campur tangan kes pemuda Malaysia didakwa di Jepun

Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani sebelum ini dilaporkan ditahan di Balai Polis Toyamanishi berkait penglibatan dalam sindiket penipuan.

Mohd Jailani Ambak n Noor Zuhaini Ismail
Mohd Jailani Ambak, 52, (tengah) dan Noor Zuhaini Ismail, 47, menunjukkan gambar anak mereka Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 24, yang didakwa di Jepun kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan.
KUALA LUMPUR:
Sebuah NGO menggesa Kedutaan Malaysia di Jepun campur tangan susulan kes rakyat Malaysia Muhammad Faiq Zafran Mohd Jailani, 24, yang didakwa di negara itu berkait penglibatan dalam sindiket penipuan.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, berkata ia bagi memastikan hak pembelaan diberikan sepenuhnya terhadap individu terbabit tanpa menafikan kedaulatan undang-undang

Menurutnya, Mohamad Faiq Zafran telah membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan walaupun tidak memahami sepenuhnya prosiding undang-undang akibat kekangan bahasa dan ketiadaan peguam lantikan keluarga.

“Kita nak minta pihak kedutaan untuk campur tangan dalam isu-isu yang melibatkan pembelaan tanpa menafikan kedaulatan undang-undang di negara terbabit,” katanya dalam sidang media di Pejabat MHO di Kuala Lumpur.

hishamuddin
Hishamuddin Hashim.

Sebelum ini media melaporkan Muhammad Faiq Zafran telah ditahan di Balai Polis Toyamanishi, Jepun kerana disyaki terbabit dengan kesalahan itu.

Susulan itu, awal bulan lalu Hishamuddin bersama Adun Manir Hilmi Harun telah ke Jepun bagi melihat perkembangan pemuda terbabit.

Selain itu, Hishamuddin berkata beliau dimaklumkan peguam bantuan guaman di negara itu bahawa Muhammad Faiq Zafran telah didakwa pada Januari lalu dan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan Jepun, iaitu berkaitan kesalahan penipuan dan subahat jenayah.

Hukuman maksimum bagi kesalahan itu adalah sehingga 10 tahun penjara, manakala satu lagi pertuduhan baharu dijangka difailkan pada Mac ini.

Hishamuddin turut mempersoalkan bagaimana pengakuan salah itu boleh direkodkan sedangkan pemuda itu tidak fasih berbahasa Inggeris dan langsung tidak memahami bahasa Jepun.

“Komunikasi antara mangsa dan peguam itu juga sukar kerana kedua-duanya tidak fasih berbahasa Inggeris dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada penterjemah.

“Kita juga kesal kerana Kedutaan Malaysia di sana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penahanannya.

“Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Jepun ketika pertemuan awal bulan lalu yang memaklumkan kedutaan hanya mengetahuinya melalui media dan Wisma Putra,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.