
Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub, berkata pemimpin dan ahli pergi dan kembali bukanlah perkara asing bagi parti itu.
“Tidak timbul Umno terdesak seperti yang didakwa Isham Jalil. Ahli Umno bertambah setiap hari walaupun ramai yang ‘mati’. Tidak dinafikan ramai ahli Umno mengambil pendirian tunggu dan lihat dan tidak berpuas hati dengan kerjasama Umno-PH sekarang, tetapi mereka tetap ahli Umno.
“Sepanjang sejarah Umno, ramai pemimpin yang keluar atau dibuang parti diterima balik. Antaranya Mahathir. Jadi tidak pelik sekiranya ianya berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau bagaimanapun mencadangkan supaya pucuk pimpinan Umno mengenakan syarat ketat.
“Untuk menerima kembali bekas ahli Umno yang dibuang dari Umno mesti dilaksanakan secara berhati-hati. Ini bagi mengelak sebarang salah langkah yang boleh membawa kesan buruk kepada parti.
“Sekiranya tindakan menerima semula mereka dalam Umno boleh memperkuatkan parti, maka veteran menyokong sepenuhnya,” katanya.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Umno Jalaluddin Alias, berkata parti itu bersedia menerima ahli dan pemimpin yang telah disingkirkan selepas PRU lalu.
Susulan itu, Isham yang juga bekas ketua penerangan Umno, menganggap kesediaan parti itu untuk memberi peluang kepada bekas ahli kembali menyertai parti itu sebagai langkah terdesak.