Syor bubar lapuk, Wan Saiful kata Bersatu lagi besar banding Umno

Syor bubar lapuk, Wan Saiful kata Bersatu lagi besar banding Umno

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkata cadangan bubar disuarakan Veteran Umno tidak lagi relevan untuk parti besar seperti Bersatu.

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan berkata, suasana politik era baru menyaksikan pelbagai parti bergabung dalam pakatan dan bekerjasama membentuk kerajaan.
PETALING JAYA:
Cadangan Bersatu dibubar dengan ahlinya kembali kepada Umno disifatkan pandangan lapuk, sambil menyatakan Veteran Umno ‘tersangkut mimpi zaman dulu’, kata Wan Saiful Wan Jan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu, berkata cadangan pembubaran sudah tidak relevan untuk parti besar seperti Bersatu.

Katanya, suasana politik era baru menyaksikan pelbagai parti bergabung dalam pakatan dan bekerjasama membentuk kerajaan.

“Kalau parti kecil mungkin sesuai pertimbang untuk bubar. Yang bercakap itu Veteran Umno…jadi pandangan itu pun memang menunjukkan sifat veteran yang sepatutnya dah pencen.

“Sekarang kita menyaksikan suasana politik era baru, di mana pelbagai parti bergabung dalam gabungan dan kemudian beberapa gabungan bekerjasama membentuk kerajaan. Itu realiti hari ini yang mungkin tidak disedari oleh mereka yang tersangkut dengan mimpi zaman dulu yang sudah tidak relevan,” katanya dalam catatan di Facebook.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengulas kenyataan Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub, menyarankan Bersatu dibubar dan kembali bersama Umno, sepertimana yang berlaku kepada Semangat 46.

Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa Umno hanya berpaut bawah ehsan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, malah mendakwa parti berkenaan bukan sebuah parti besar.

“Kita kena ingat kalau bukan disebabkan proses lompat dan lapar peruntukan, bilangan Ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat lebih besar dari Umno.”

Sebelum ini, dilaporkan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainuddin berkata, parti itu terbuka bekerjasama dengan Umno kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi sama.

Hari ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan, berkata Bersatu perlu membuat permohonan melalui surat rasmi bagi kerjasama dimaksudkan bagi membolehkan ia dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi.

Beliau juga anggap perkara dibangkit Hamzah sebagai ‘perkara penting’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.