PRN: Undi protes hanya lemahkan Umno, bukan Zahid, veteran nasihat akar umbi

PRN: Undi protes hanya lemahkan Umno, bukan Zahid, veteran nasihat akar umbi

Mustapha Yaakub mengingatkan akar umbi bahawa presiden hanya boleh dipilih atau disingkir menerusi perhimpunan agung.

Mustapha Yaakub menyeru akar umbi mengukuhkan kedudukan Umno dalam kalangan parti kerajaan perpaduan, dan tidak fokus kepada usaha menekan Zahid Hamidi. (Facebook pic)
PETALING JAYA:
Sebarang undi protes daripada akar umbi Umno pada PRN enam negeri tidak akan menjejaskan kedudukan Zahid Hamidi sebagai presiden parti, sebaliknya hanya menghakis pengaruh Umno dalam pentadbiran negara, kata persatuan veteran.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub menasihatkan akar umbi mengambil iktibar PRU15, yang menyaksikan undi protes kalangan ahli gagal memberi sebarang kesan kepada kedudukan Zahid sebagai presiden parti.

“Sebelum ini cuba nak undi protes supaya Umno kalah dengan harapan beri tekanan kepada Zahid…tetapi tak beri kesan kepada kedudukan beliau sebagai presiden kerana dia dipilih dalam perhimpunan agung,” katanya kepada FMT.

PRU15 menyaksikan Umno terpaksa berpuas hati dengan hanya 26 kerusi Parlimen, kurang 28 daripada 54 yang dimenanginya pada PRU14. Di peringkat negeri, Umno memimpin Pahang dan Perak bersama parti lain.

Mustapha menyeru akar umbi mengukuhkan kedudukan Umno dalam kalangan parti kerajaan perpaduan, dan tidak fokus kepada usaha seperti undi protes untuk menekan Zahid.

“Pastikan kemenangan berpihak kepada Umno dalam PRN nanti sebab matlamat kita nak berada dalam kerajaan.

“Jika kita kalah atau undi menurun, tidak akan sebabkan Zahid jatuh atau turun.”

Beliau mengulas spekulasi undi protes dalam kalangan akar umbi Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Zahid, antaranya berkaitan kerjasama dengan Pakatan Harapan, terutama DAP.

Seawal Januari lagi, ahli Pemuda Umno, Syed Mohd Syed Nasir dilaporkan berkata, PRN platform sesuai menzahirkan ketidakpuasan hati selepas Perhimpunan Agung Umno 2022 memutuskan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.