Tajuddin sokong guna lambang ‘keris’, tonjol kekuatan Umno

Tajuddin sokong guna lambang ‘keris’, tonjol kekuatan Umno

Tajuddin Abdul Rahman berkata Umno tidak perlu khuatir untuk menonjolkan imej parti Melayu di medan pilihan raya.

Tajuddin Abdul Rahman menyokong cadangan Umno bertanding atas tiket sendiri untuk mengukur tahap sokongan orang Melayu.
PETALING JAYA:
Seorang veteran Umno berkata parti itu wajar menggunakan logonya sendiri pada pilihan raya akan datang, sebagai platform mengukur tahap sokongan dan kekuatannya selepas berdepan penolakan orang Melayu pada PRU15 dan PRN enam negeri.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Tajuddin Abdul Rahman berkata Umno tidak perlu khuatir untuk menonjolkan imej parti Melayu, kerana setiap parti berteraskan kaum mempunyai kepentingan memperjuangkan ahli masing-masing.

“Mungkin sudah sampai masanya kita menunjukkan siapa kita sebenarnya. Kita Umno kita Melayu… apa yang nak ditakutkan kalau kita menonjolkan identiti kita.

“Kalau itu dibuat (tanding guna logo Umno), kita tahulah siapa yang sokong siapa tak,” katanya kepada FMT.

Tajuddin Abdul Rahman.

Bulan lalu, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said melontarkan persoalan sama ada sudah tiba masa parti itu mempertimbang untuk bertanding atas tiket sendiri, berbanding logo Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Perkara dibangkitkan Azalina mendapat reaksi pemimpin komponen BN apabila Naib Presiden MIC T Mohan berkata partinya tiada halangan untuk Umno menggunakan logo sendiri apabila bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Sementara itu, Naib Presiden MCA Ti Lian Ker membidas Azalina dengan menyifatkan cadangan itu perlu dibincang terlebih dahulu secara strategik, bukan diperkatakan secara terbuka.

Tajuddin yang juga bekas pengarah pilihan raya Umno berkata memasuki gelanggang pilihan raya menggunakan lambang “keris” juga mampu menjadi medan untuk mengukur sokongan pengundi rakan komponen BN iaitu MCA dan MIC.

“Kita boleh lihat kekuatan Umno itu datang daripada Melayu sahaja atau sokongan dari bangsa lain,” tambah bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

“Kalau mereka tak sokong (calon Umno), mereka yang rasis.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.