
Setiausaha Mustapha Yaakub berkata, Bersatu sedia tahu tindakan PAS untuk meyakinkan Anwar Ibrahim bagi tujuan berkenaan.
Beliau juga menolak Bersatu bekerjasama dengan Umno, sebaliknya lebih baik parti itu memanggil perhimpunan khas dan membuat pembubaran seperti pernah dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah semasa membubarkan Semangat 46.
“Realitinya kenyataan itu membuktikan kebimbangan Bersatu terhadap nasibnya bersama PAS dalam PN (Perikatan Nasional) yang retak menunggu belah.
“Bersatu tahu PAS telah berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mereka diterima ke dalam kerajaan perpaduan.
“Bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali PAS telah menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa PMX untuk tujuan itu,” katanya menurut Sinar Harian.
Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, partinya terbuka bekerjasama dengan Umno kerana mereka berkongsi asas ideologi sama.
Seruan sama juga diulangi Hamzah pada kempen PRK Ayer Kuning, baru-baru ini, yang menyaksikan Umno mengekalkan penguasaannya dengan majoriti lebih besar, walaupun kadar keluar mengundi kurang 60%.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, Bersatu perlu kembali secara ‘en bloc’ yang disifatkan cara terbaik memperjuangkan agama, bangsa, dan negara.
“Bukan bekerjasama dengan Umno, tetapi bersama dalam Umno,” katanya sambil menggambarkan hasrat berulang kali disuarakan Hamzah berniat baik dan positif.