
Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan berkata beberapa pendekatan dasar Ketua Menteri Hajiji Noor seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan skim pendidikan dilihat memenuhi cita rasa rakyat negeri itu.
Menurutnya, bantuan tiket penerbangan untuk pelajar Sabah di insitut pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia untuk pulang ke kampung halaman juga banyak membantu golongan memerlukan.
“Setakat ini PAS selesa bekerjasama dengan GRS, kita tak tolak bersama pada PRN jika diputuskan pimpinan.
“PAS di semua kawasan meneruskan program kebajikan dan kemasyarakatan (di bawah kerajaan Sabah) tanpa mengira sempadan parti dan kaum,” katanya kepada FMT.
Aliakbar adalah seorang daripada enam Adun dilantik oleh kerajaan Sabah selepas PRN 2020. Sebagai rekod, PAS tidak pernah menang sebarang kerusi sejak menyertai pilihan raya di negeri itu.
Beliau mengulas kerjasama sedang dipertimbangkan PAS Sabah menjelang PRN yang dijangka tahun depan.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti pilihan raya yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Semalam, FMT melaporkan berhubung kemungkinan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan PRN Sabah, meneruskan kesinambungan di peringkat persekutuan terjalin sejak 2022.
Memetik sumber, kerjasama itu tidak akan membabitkan GRS dan mungkin turut disertai Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Kesemuanya adalah sebahagian komponen dalam kerajaan perpaduan diketuai Anwar Ibrahim.
Sumber turut mendedahkan walaupun majoriti pimpinan BN dan PH negeri bersetuju dan hanya menunggu pengesahan ketua parti masing-masing, namun ada membantah cadangan terbabit termasuk Pengerusi PH Sabah Christina Liew.