
Penasihat PKR Sabah yang juga bekas pengerusi PH dan ketua PKR Sabah Christina Liew digugurkan daripada menjadi calon di DUN Api-Api.
Liew yang menyandang kerusi DUN tersebut selama tiga penggal digantikan dengan Thonny Chee sebagai calon.
Seorang lagi calon yang menarik perhatian dipertaruhkan di DUN Sindumin, iaitu Yamani Hafez Musa, bekas timbalan menteri kewangan II merangkap bekas Ahli Parlimen Sipitang, yang juga anak sulung Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman.
Selain itu, PKR turut mengumumkan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi bertanding di DUN Merotai, manakala bekas Adun Kemabong Jamawi Jaafar, yang pernah bersama Umno dan Warisan, akan menjadi calon di DUN Melalap.
Seramai 1.78 juta pengundi berdaftar layak memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan baharu Sabah pada 29 Nov. Penamaan calon akan diadakan pada 15 Nov.
Berikut senarai penuh kerusi ditandingi PKR pada PRN17 dan calon-calonnya, seperti diumumkan oleh Presiden Anwar Ibrahim:
- Peto Galim – Inanam
- Awang Husaini Sahari – Petagas
- Ruji Ubi – Merotai
- Rufinah Pengeran – Tulid
- Romansa Lamin – Segama
- Abdul Said Pimping – Gum Gum
- George Hiew – Karamunting
- Jamawi Jaafar – Melalap
- Yamani Hafez Musa – Sindumin
- Thonny Chee – Api-Api
Sementara itu, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam ucapannya berkata, gabungan itu akan bertanding 23 kerusi pada PRN17, dan tidak akan berebut untuk membentuk kerajaan negeri.
Beliau berkata, walaupun kerjasama PH dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mantap, tetapi ia perlu memastikan mempunyai perwakilan yang kuat bagi menjamin hubungan baik antara kerajaan Sabah dan kerajaan persekutuan.
“Lebih penting menggunakan kuasa sebagai wakil rakyat. (Yang) 23 orang itu (diharapkan) menang supaya mereka menjadi suara, pembicara, penegak keadilan, membetulkan kesilapan dan angkat martabat rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud yakin PKR boleh menang kesemua 10 kerusi ditandingi pada PRN Sabah kali ini.
Beliau mengingatkan semua ahli bahawa PRN kali ini merupakan misi yang besar, untuk memastikan calon-calon PKR mewakili rakyat di DUN bagi memperjuangkan agenda membawa perubahan di Sabah.
“Jangan ulangi kesilapan pimpinan terdahulu. Kita mahu buat perubahan di Sabah.
“Kita bukan sekadar jadi pimpinan negeri tetapi buat perubahan di Sabah,” katanya.