Nama-nama besar antara harapan BN pada PRN Sabah

Nama-nama besar antara harapan BN pada PRN Sabah

Antara nama besar yang jadi harapan BN adalah Bung Moktar Radin, Arthur Joseph Kurup, Salleh Said Keruak, Abdul Rahman Dahlan, dan Yakubah Khan.

Bung Moktar Radin, Arthur Joseph Kurup, Salleh Said Keruak, dan Abdul Rahman Dahlan akan bawa panji BN pada PRN akan datang.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) meletakkan harapan pada beberapa nama besar untuk membawa panjinya pada PRN Sabah ke-17.

Seperti dijangka Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, bakal mempertahankan Lamag yang diwakilinya sejak 2020.

Pada PRN lalu, BN menerusi Bung Moktar mempertahankan kerusi tersebut dengan kelebihan 661 undi, apabila meraih 3,035 undi untuk mendahului Warisan (2,374), seorang calon bebas (73), Parti Cinta Sabah atau PCS (71), dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (61).

BN juga kemuka presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) iaitu Arthur Joseph Kurup untuk merampas Sook daripada Perikatan Nasional (PN).

Pada PRN lalu, PN meraih 3,554 undi untuk menewaskan PKR (2,322), BN (1,535), Parti Liberal Demokratik atau LDP (110) dan PCS (88 undi), dengan majoriti senipis 1,232 undi.

Mengambil alih kepimpinan PBRS daripada bapanya, Joseph Kurup, pada Januari 2025, PRN kali ini menyaksikan langkah pertama Arthur ke gelanggang DUN.

Di peringkat Parlimen, Arthur dua kali mempertahankan Pensiangan iaitu pada PRU 2018 dan 2022. Beliau juga timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan dalam pentadbiran Anwar Ibrahim.

Sementara itu, bekas ketua menteri Sabah dan menteri persekutuan, Salleh Said Keruak, akan kembali mempertahankan Usukan bagi Umno.

Pada PRN lalu, BN mempertahankan Usukan dengan majoriti selesa 4,298 undi, selepas meraih 8,280 undi bagi menewaskan Warisan (3,982) dan PCS (421).

Salleh berkidmat di Usukan sejak 1994, dan kemudi kerajaan Sabah dari tahun tersebut sehingga 1996. Beliau mewakili rakyat Kota Belud apabila menang kerusi Parlimen tersebut pada PRU 1995, 1999, dan 2004.

Seorang lagi bekas menteri persekutuan, Abdul Rahman Dahlan, diberi tanggungjawab mempertahankan Tempasuk bagi Umno.

Pada PRN lalu, BN meraih 4,040 undi untuk menewaskan PKR (1,852), calon bebas iaitu Musbah Jamli yang memperoleh 2,355 undi, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu atau Usno (471), PCS (133), dan Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan (57).

Rahman mewakili rakyat Kota Belud apabila menang kerusi Parlimen tersebut pada PRU 2008 dan 2013.

Dalam pada itu, bekas menteri negeri Yakubah Khan akan perlu berhempas pulas untuk mempertahankan Karambunai bagi Umno.

PRN lalu menyaksikan BN mempertahankan Karambunai dengan kelebihan 16 undi sahaja, selepas Yakubah menewaskan lima pencabar lain.

Yakubah meraih 5,180 undi, diikut rapat calon Warisan (5,164), dan jauh meninggalkan LDP (1,053), PCS (315), Gagasan (285), dan Usno (90).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.