
Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Presiden KDM Wetrom Bahanda pada Majlis Pelancaran Jentera Parti KDM Zon Pantai Timur di Sandakan hari ini, lapor Harian Metro.
Turut hadir, Pemangku Presiden KDM Priscella Peter dan Setiausaha Agung KDM Willie Jude Junaidi.
Selain Poon yang akan dipertaruhkan di kerusi DUN dalam Parlimen Sandakan itu, bekas setiausaha organisasi DAP Sabah Liau Fui Fui pula dijangka dicalonkan di DUN Elopura, juga dalam kawasan Parlimen sama.
Poon semalam dilapor mengesahkan penyertaannya dalam KDM, setelah meninggalkan DAP Sabah bulan lepas bersama Liau atas rasa tidak puas hati dengan kepimpinan semasa parti itu.
Dalam majlis di Sandakan hari ini, Poon berkata, setelah meninggalkan DAP, banyak parti yang menawarkan beliau untuk menyertai mereka, namun beliau memilih KDM kerana ia parti tempatan.
Beliau yakin mampu mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak PRN14 itu walaupun bukan dengan parti asal kerana percaya rakyat mengiktiraf kerja kerasnya di kawasan itu.
“KDM mempunyai manifesto yang bagus untuk rakyat. Seperti apa yang saya lihat, mereka berjuang untuk rakyat dan masa depan Sabah. Untuk jaga akar umbi, kita perlu ‘rumah’ (parti) untuk kita bernaung.
“KDM adalah parti tempatan yang ada manifesto, yang utamakan akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Wetrom berkata, selepas DUN Tanjung Papat dan Elopura, KDM sedang mempertimbangkan dua lagi kerusi DUN yang mahu ditandingi pada PRN kali ini.
“Setakat ini, 38 kerusi sudah sah (akan ditandingi pada PRN17), termasuk Tanjung Papat dan Elopura. Kita ada dua lagi kawasan dalam pertimbangan.
“Ada kemungkinan di kawasan pantai timur juga. Kita akan umum pada 13 Nov nanti,” katanya.