Pesawat SIA hadapi gelora udara teruk, 1 rakyat Malaysia kritikal namun stabil

Pesawat SIA hadapi gelora udara teruk, 1 rakyat Malaysia kritikal namun stabil

Kementerian Luar Negeri turut mengesahkan lapan lagi rakyat Malaysia mengalami kecederaan fizikal dan dalaman.

singapore airlines
Kementerian Luar Negeri berkata 16 warga Malaysia menaiki penerbangan SQ321 Singapore Airlines yang berdepan gelora udara teruk dalam penerbangan dari London ke Singapura semalam. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia kritikal mengalami kecederaan selepas penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) berdepan gelora udara teruk dalam penerbangan dari London ke Singapura semalam.

Kementerian Luar Negeri berkata namun keadaan mangsa ketika ini stabil.

Menurutnya, dalam kejadian sembilan rakyat Malaysia itu dengan enam daripadanya dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin, manakala tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

“Mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital berkenaan dan sedang menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia terlibat.”

Pesawat SIA Boeing 777-300ER yang membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal dilencongkan ke Bangkok dan terpaksa melakukan pendaratan cemas pada 3.45 petang Selasa (waktu tempatan) selepas menghadapi gelora udara teruk dalam penerbangan dari London ke Singapura semalam.

Seorang penumpang warga United Kingdom berusia 73 tahun meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung, manakala sekurang-kurangnya 30 orang cedera.

Kementerian Luar Negeri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa maut dan mendoakan semua mangsa cedera cepat sembuh.

Menurutnya rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat), +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.