‘Elak munafik’, bekas mufti beritahu agensi pelancongan sedia pakej haji

‘Elak munafik’, bekas mufti beritahu agensi pelancongan sedia pakej haji

Nooh Gadut berkata agensi pelancongan harus menunaikan janji kepada bakal jemaah haji dan elak sebarang masalah.

haji
Seramai 31,600 jemaah Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima tahun ini berdasarkan kuota ditetapkan kerajaan Arab Saudi. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang tokoh agama menasihatkan agensi pelancongan supaya tidak bersifat munafik dengan menjanjikan sesuatu yang ‘belum pasti’ kepada bakal jemaah haji sehingga akhirnya diperdaya.

Merujuk penularan kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah dipercayai diperdaya agensi, Nooh Gadut berkata al-Quran ada menasihatkan umat Islam ‘jangan mencampakkan diri dalam kebinasaan’.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) itu, mengambil kira nasihat terbabit sesebuah agensi pelancongan sepatutnya harus ikhlas, jujur dan melaksanakan janjinya.

Jelasnya, sabda Nabi Muhammad ada menyatakan sifat orang munafik ialah tidak menunaikan janjinya dan dalam konteks itu gagal menyediakan perkhidmatan dijanjikan kepada bakal jemaah.

Bagaimanapun, Nooh pada masa sama berpendapat bakal jemaah juga harus lebih berhati-hati untuk mengelakkan diperdaya dengan merujuk status agensi atau pakej dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) serta Lembaga Tabung Haji (TH).

Nooh Gadut.

“Perlu semak supaya yakin perjalanan kita betul.

“Janji mulut (manusia) kadang-kadang gigi lebih lembut dari lidah, jadi kita kena hati-hati sebab jika tak ikut peraturan, undang-undang negara kita salah, di Arab Saudi pun salah,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini tular di media sosial kira-kira 300 bakal jemaah haji Malaysia terkandas di Makkah kerana dikatakan menggunakan visa pelancong untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Semalam, Motac menegaskan pihaknya akan membatalkan serta-merta lesen agensi pelancongan yang didapati terlibat menyalahgunakan visa pelancong dan umrah untuk ibadat haji.

Berdasarkan kuota haji diberikan kepada Malaysia, seramai 31,600 jemaah dari negara ini akan menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini.

Nooh yang juga bekas mufti Johor berkata, tindakan rakyat Malaysia menunaikan haji tanpa mengikut saluran dan proses sah adalah berdosa dan perlu bertaubat.

Katanya, umat Islam perlu mengikut undang-undang digariskan pemerintah selagi tidak bercanggah hukum agama.

“Seperti difatwakan kerajaan Arab Saudi, sekiranya haji dilakukan cukup syarat, rukunnya tiada tertinggal, maka haji sah tapi berdosa hukumnya.

“Kalau berdosa, maka wajib bertaubat kepada Allah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.