MKI isytihar ajaran CEO GISBH sesat

MKI isytihar ajaran CEO GISBH sesat

Pengerusi MKI Nooh Gadut berkata pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan itu bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.

Nasiruddin Ali
Ajaran dibawa CEO GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya difatwakan sesat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengisytiharkan ajaran, pegangan dan fahaman dibawa CEO Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi MKI, Nooh Gadut, berkata keputusan dibuat dalam mesyuarat pada 24 hingga 26 Sept lalu itu sudah disembahkan kepada Pengerusi MKI Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

“Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, Nooh berkata MKI mencadangkan agensi kerajaan persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan bersesuaian bagi tujuan berkenaan.

Pada 22 Okt, Nasiruddin, 65, bersama 21 pengikutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.

Turut didakwa isterinya, Azura Md Yusof Hasnan, 57; dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi, 32.

Ia susulan Op Global dilancarkan pihak berkuasa sejak 10 Sept yang menyaksikan polis berjaya menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan antaranya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Setakat ini, enam negeri mengisytiharkan ajaran dan amalan pengikut GISBH sebagai sesat dan bercanggah Islam iaitu Perlis, Selangor, Pahang, Melaka, Sabah dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Nooh berkata antara ajaran, pegangan dan fahaman dibawa kumpulan itu adalah mengiktiraf Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi manakala pengasas pertubuhan al-Arqam, Asaari Muhammad sebagai pembantunya di akhir zaman.

Beliau berkata, selain itu pengikut GISBH percaya Asaari boleh memberi syafaat kepada mereka, malah air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.

“GISBH juga mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah, selain mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang difatwakan sesat,” katanya.

Katanya, justeru semua pihak perlu menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman dibawa pengikut GISBH dan dilarang berpegang, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya.

“Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya.

Selain itu, Nooh berkata tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan sebarang bahan bacaan atau menerbitkan filem, audio visual, laman sesawang mengandungi ciri-ciri ajaran dan pegangan pengikut GISBH.

“Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan mana-mana perkara yang dilarang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.