Jawatankuasa Muzakarah MKI bincang isu GISBH minggu depan, kata Nooh Gadut

Jawatankuasa Muzakarah MKI bincang isu GISBH minggu depan, kata Nooh Gadut

Bagaimanapun, Nooh Gadut enggan mengulas keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis mengisytiharkan kepercayaan dalam GISBH sebagai sesat.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Nooh Gadut berkata satu mesyuarat akan diadakan untuk membincangkan isu berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), kata pengerusinya Nooh Gadut.

“Kita akan bawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI dalam masa terdekat. Mungkin minggu depan akan bincang mengenai GISBH. Mudah-mudahan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Nooh enggan mengulas ketika ditanya mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis yang mengisytiharkan kepercayaan dalam GISBH sebagai sesat.

“Saya tak boleh komen. Tidak boleh komen sekarang,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengisytiharkan kepercayaan dalam GISBH sebagai sesat yang memesongkan akidah umat Islam dan meneruskan kesinambungan ajaran al-Arqam.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata keputusan itu diambil berdasarkan beberapa bukti iaitu secara berlebihan mengagungkan pemimpinnya sehingga setaraf nabi, selain mendakwa mempunyai mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara ghaib seperti tuhan.

Menurutnya, keadaan itu mewujudkan perasaan taasub sehingga bercanggah al-Quran dan sunnah, membuta tuli mematuhi arahan pemimpin, mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh badan pemimpin dan percaya pemimpin telah meninggal dunia boleh memberi panduan.

Pada 10 Sep lalu, polis menyerbu 18 rumah amal di Selangor serta Negeri Sembilan dikaitkan dengan GISBH dan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai mangsa eksploitasi.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata rumah amal terbabit menggunakan sentimen agama dan kanak-kanak untuk menagih simpati serta sumbangan orang ramai.

Menurutnya, siasatan juga mendapati ada mangsa dikatakan diajar meliwat, diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Polis telah menahan beberapa individu termasuk pimpinan tertinggi GISBH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.