Kelindan rentung lori terbakar rempuh treler

Kelindan rentung lori terbakar rempuh treler

Sebuah 'lori bonded' merempuh sebuah treler diparkir di bahu jalan, dalam kejadian di Bentong awal pagi tadi.

Beberapa anggota bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan sebuah lori dan treler dalam kemalangan di bulatan LTU dekat Mempaga. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang kelindan rentung manakala pemandu lori parah selepas kenderaan dinaiki terbakar selepas merempuh treler dalam kejadian dekat Mempaga, Bentong awal pagi tadi.

Bomba Pahang mendapat laporan berlaku kebakaran selepas sebuah ‘lori bonded’ merempuh sebuah treler yang diparkir di bahu jalan.

“Kejadian menyebabkan lori terbabit 100% terbakar, menyebabkan seorang lelaki rentung dan seorang lagi cedera,” kata Pegawai Perhubungan Awam Zulfadli Zakaria, menurut Sinar Harian.

Pemandu treler dilaporkan selamat apabila hanya bahagian belakang treler didapati terbakar, tambahnya.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di bulatan Lebuhraya Lingkaran Utama itu, pada 4.44 pagi. Pasukan dari bomba Bentong bersama sebuah jentera pemadam dan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan dikejarkan ke lokasi. Operasi terkawal pada 6.03 pagi.

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan jentera EMRS untuk rawatan manakala mayat kelindan terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.