
Nanta berkata, empat DUN baharu itu akan melibatkan tiga kawasan Parlimen, iaitu Kanowit, Kapit, dan Hulu Rejang, susulan perbincangan dalam kalangan wakil rakyat GPS.
“Kami telah bincang beberapa kali dan sudah bersetuju dengan cadangan mewujudkan kawasan baharu DUN Sarawak nanti.
“Kami cadangkan ada lebih kurang empat (DUN baharu). Terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nantilah, ” katanya selepas menghadiri upacara pembukaan rumah panjang di Kapit, lapor Berita Harian.
“(Cadangan mewujudkan DUN baharu itu) termasuk di kawasan Parlimen Kanowit, Kapit dan Ulu Rejang. Besar kawasannya sebab itu empat (DUN baharu dicadangkan).”
Terdahulu dilaporkan Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, pihaknya akan mempertimbangkan menyemak semula kawasan DUN tahun ini untuk mewujudkan kawasan demografi bercampur.
Menurutnya, kawasan DUN baharu yang dicadangkan itu perlu mempunyai beberapa parameter asas yang penting untuk memastikan perwakilan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Pada 1 Jan lepas, pengerusi SPR ketika itu, Abdul Ghani Salleh memaklumkan pihaknya sedang menimbang dan meneliti kesesuaian melaksanakan urusan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak.
Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada pada 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi DUN.
Susulan itu, Sarawak menyaksikan pertambahan kepada 82 DUN, selain 31 kawasan Parlimen.