PRK KKB: Polis terima 10 laporan, 5 kertas siasatan dibuka

PRK KKB: Polis terima 10 laporan, 5 kertas siasatan dibuka

Polis turut membuat dua tangkapan sepanjang tempoh berkempen PRK KKB.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, satu daripada lima kertas siasatan yang dibuka itu sudah dituduh di mahkamah, iaitu kes meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepuluh laporan polis diterima dengan lima kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen PRK Kuala Kubu Bharu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, pihaknya turut membuat dua tangkapan sepanjang 10 hari ini sejak 27 April lalu.

“Lima laporan yang dibuka kertas siasatan adalah kejadian ubah suai logo parti, meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong, menampal poster perdana menteri, penafian video tular serta fitnah.

“Daripada lima kes itu, satu daripadanya sudah dituduh di mahkamah, iaitu kes meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, empat daripada baki lima lagi laporan dibuat pasukan Op Cantas yang melakukan pemeriksaan sepanjang tempoh itu.

“Empat laporan itu diklasifikasikan rujuk kepada agensi lain (ROR), manakala satu lagi laporan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA).”

Katanya, seramai 1,133 pegawai dan anggota polis dari Kontinjen Selangor dikerahkan bagi penugasan PRK Kuala Kubu Bharu.

Beliau memberi jaminan keselamatan setiap pengundi yang keluar mengundi esok.

“Kami menasihatkan calon bertanding dan penyokong sentiasa menghormati serta mematuhi undang-undang sepanjang tempoh pilihan raya ini, termasuk esok yang juga hari mengundi.

“Elakkan menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) selain membuat sebarang provokasi serta perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.