
SPRM dalam kenyataan berkata lantikan itu adalah bagi menggantikan Mohtar Mohd Abd Rahman yang meletakkan jawatan pada 4 Dis 2022, dan watikah pelantikan itu disampaikan kepada Adrain Jerome hari ini oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Adrain Jerome berkelulusan BA (Hons) International Relations Subsidiaries in Psychology and Environmental Protection & Pollution dari University of Keele, United Kingdom dan berpengalaman luas dalam aktiviti pencegahan jenayah sebagai Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kuala Lumpur.
Menurut SPRM pelantikan JKA adalah selari dengan perundangan mengikut Seksyen 15 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang fungsinya untuk memantau pengendalian SPRM tentang aduan salah laku pegawai SPRM yang tidak bersifat jenayah.
JKA merupakan salah satu daripada lima badan pemantau bebas iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah dan Panel Penilaian Operasi.
JKA dipengerusikan oleh Asariah Mior Shaharuddin dan ahlinya terdiri daripada Tam Weng Wah, Noor Aziah Mohd Awal dan Ruziati Mior Ahamad Ariffin.
SPRM adalah agensi penguatkuasaan pertama di Malaysia yang mempunyai badan bebas yang bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang.