
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneliti dari segi pelaksanaan kenaikan gaji tersebut sekali gus memastikan hasil negara meningkat menerusi pemantauan yang lebih kemas.
“Sebab itu kenaikan (inflasi) (dijangka) secara berperingkat pada Disember dan diikuti pada tahun berikutnya.
“Justeru, kalau (inflasi) naik pun, (ia) dalam keadaan terkawal kerana seperti yang kita tahu, inflasi di negara kita paling rendah di Asia,” katanya menurut Bernama pada program ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ yang disiarkan semua stesen TV tempatan.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kebimbangan mengenai kenaikan inflasi dalam negara susulan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam.
Terdahulu, pada sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Kebangsaan di Putrajaya, Anwar mengumumkan kenaikan tersebut, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara dan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau untuk memastikan kenaikan inflasi tidak akan membebankan rakyat.
Menurut Bank Negara Malaysia, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, antara 2.0% dan 3.5% pada tahun ini, berikutan tekanan kos terkawal susulan keadaan bekalan global bertambah baik.
Menyentuh mengenai kos sara hidup, perdana menteri menafikan rungutan daripada beberapa pihak bahawa kos sara hidup pada masa ini adalah paling tinggi dalam sejarah.
“Itu bohong. Saya pernah dulu mempengerusikan (mesyuarat) berpuluhan tahun yang lepas mengenai pengawalan harga barang selaku menteri kewangan ketika itu. Memang kita andaikan setiap tahun sebelum raya, mesti harga ayam naik tetapi kali ini, tidak.
“Kemudian tentang harga sayur dan ikan, kita juga pantau. Ada beberapa yang naik. Saya tidak menafikan tetapi kita pantau,” kata beliau, sambil menambah kos sara hidup di Malaysia masih dikawal baik berbanding Singapura, Thailand, Indonesia, dan Filipina.