
Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd merayu keputusan Mahkamah Sesyen memutuskan syarikat itu bertanggungjawab dan perlu membayar ganti rugi.
Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu yang memihak kepada penunggang motosikal Razali @ Mohd Leey Subeh dalam samannya terhadap Safwa Global.
Saman itu turut menamakan kerajaan Johor sebagai defenden bersama tetapi digugurkan pada 2022.
Menurut tuntutan itu, Razali kemalangan selepas melanggar lubang di jalan raya berhampiran Taman Kota Masai di Pasir Gudang pada 11 Feb 2021, ketika dalam perjalanan ke Taman Cendana.
Kemalangan itu menyebabkan Razali mengalami kecederaan dan motosikalnya rosak.
Sazlina berkata, mahkamah mendapati tiada kerja dilakukan untuk membaiki lubang itu dari hari Razali kemalangan hingga 29 Sept 2022.
“Syarikat itu juga mengemukakan kenyataan bercanggah dalam pembelaan mereka apabila pada mulanya mendakwa bahawa mereka tidak melihat sebarang jalan berlubang, tetapi kemudian menemui jalan berlubang yang disebabkan oleh kerja-kerja kemudahan awam,” kata Sazlina dalam alasan penghakiman disiarkan di laman web kehakiman semalam.
Oleh itu, mahkamah percaya defendan gagal dalam tugas mereka untuk menyelenggara jalan berkenaan dan mereka bertanggungjawab kepada plaintif bawah Seksyen 7(3) Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).