
“Menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk memastikan hak kedaulatan Malaysia, termasuk perairan Malaysia sentiasa dilindungi,” katanya dalam kenyataan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dilaporkan menolak pemakaian Akta 750.
Khamis lalu, Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, sidang DUN menolak Akta 750 kerana ia mengehadkan hak negeri meneroka sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika (5.5km) dari garis air surut wilayah Terengganu.
PMO berkata, menjadi pendirian kerajaan persekutuan bahawa Akta 750 dibuat dan diluluskan Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan.
Katanya, tujuan Akta 750 digubal bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia, memelihara keutuhan sempadan wilayah dan hak kedaulatan negara serta menjamin keutuhan keselamatan dan integriti wilayah.
“Penggubalan Akta 750 juga bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).
“Selaras nilai Malaysia Madani, sekali lagi dinyatakan di sini kerajaan persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri, termasuk Terengganu.”