
Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali berkata, dalam kalangan ahli politik dan parti yang ‘tiba-tiba lantang’ tentang hak Sabah, termasuk mempertikaikan TSA, adalah Ahli Parlimen atau berstatus menteri pada 2012.
“Kenapa hanya bangkitkan hari ini. Mengapa mereka tidak mempertikaikan apabila RUU Laut Wilayah dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen pada 2012 sehingga ia lulus,” katanya menurut kenyataan.
Timbalan setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan persidangan tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah DUN Melalap di Tenom, Sabah.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memastikan parti tempatan menjadi teras kerajaan negeri, dengan membandingkan penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dan TSA.
CCUS diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Mac 2025. Armizan mendedahkan Jemaah Menteri setuju meminda rang undang-undang CCUS daripada terpakai bagi seluruh Malaysia kepada hanya Semenanjung dan Labuan selepas mendengar pandangan kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Bentuk hubungan inilah yang mendasari hubungan di antara teras kerajaan persekutuan pada hari ini iaitu Pakatan Harapan, dan teras kerajaan negeri iaitu GRS. Teras kepada pusat adalah parti nasional dan teras kepada negeri adalah parti tempatan,” katanya.
“Perkara ini juga berlaku disebabkan kerajaan persekutuan diketuai oleh seorang perdana menteri yang amat komited berpegang kepada pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.”
Armizan mempertahankan model politik yang menjadikan parti tempatan teras kerajaan negeri, untuk memastikan hubungan di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berbentuk antara kerajaan dan bukannya intra parti.
“Hampir keseluruhan Ahli Parlimen Sabah pada 2012 berada dalam parti atau gabungan parti nasional, maka mereka terikat dengan keputusan gabungan parti nasional yang menentukan pendirian pengundian di Parlimen,” katanya, menyorot kembali perhatian perwakilan kepada TSA.
Armizan berkata, kedua-dua kerajaan pada 2012 diterajui dan didominasi oleh parti nasional yang sama. “Berbeza pada 2025 teras kerajaan negeri adalah parti tempatan dan teras kepada kerajaan persekutuan adalah parti nasional,” katanya.
Malah kerajaan Sabah pimpinan GRS menegaskan TSA yang membataskan kuasa negeri kepada perairan tiga batu nautika sahaja tidak terpakai kepada Sabah kerana tidak diluluskan oleh DUN, katanya.
Menegaskan GRS tidak menolak parti nasional dan memperakui Adun PH dalam kerajaan negeri, Armizan berkata, parti tempatan harus menjadi teras kerajaan Sabah untuk memastikan kepentingan negeri menjadi agenda paling utama.
“Ini untuk memastikan agenda yang melibatkan kepentingan negeri tersebut akan sentiasa dibincangkan dalam struktur antara dua peringkat kerajaan dan tidak dirundingkan dalam struktur dalaman parti (intra-party) terlebih dahulu,” katanya.